
PERTUBUHAN SENI SILAT LINTAU ASLI MALAYSIA

Persilatan yang di asaskan oleh Panglima Lidah Hitam@Baginda Zaharuddin ( PPM-010-08-02112011 )


Sejarah Panglima Lidah Hitam dan Silat Lintau ini adalah berdasarkan sejarah yang disampaikan dari satu generasi ke generasi yang berikutnya oleh keluarga dan juga sahabat Panglima Lidah Hitam dan menurut keluarga yang menjaga makam Panglima Lidah Hitam dan ianya tidak bertulis sehingga sampai ke Hj Abdul Mulok yang telah menulis sejarah tersebut dan di kemaskini oleh cucunya, Muhammad Hidayatullah.
SEJARAH RASMI SILAT LINTAU TAPAK EMPAT
Panglima Lidah Hitam atau nama sebenarnya Bagindo Panglima Zaharruddin Shah @ Zahiruddin Shah berasal dari Padang Pariaman, Minangkabau, Sumatera, Indonesia daripada susur galor Datok Bendaharo Sakti yang juga dari jajahan Datuak Parapatiah Nan Sabatang. Persilatan yang dibawa beliau dinamakan Silat Lintau kerana namanya berdasarkan nama tempat dimana Silat ini digabungkan antara 3 jenis persilatan terkenal iaitu Silat Harimau, Silat Sendeng dan Silat Starlak. Makanya, pada satu hari diadakan peraduan untuk menentukan persilatan mana dan ilmu pertahanan diri mana antara bertiga itu yang akan diwarisi oleh penuntut-penuntut dikemudian hari kelak. Panglima Lidah Hitam merupakan pengamal Silat Harimau dan juga merupakan seorang Panglima perang. Apabila sampai harinya maka mereka pun mempertunjukkan permainan mereka masing-masing. Akhirnya tidaklah ada yang menang atau kalah antara mereka. Ini kerana masing-masing handal dengan permainan mereka sendiri. Ketiga-tiga mereka yang mengajar permainan dengan nama Harimau, Sendeng, dan Starlak pun pergilah berjumpa dengan seorang ahli agama yang menjadi penasihat Sultan Minangkabau ketika itu. Maka disuruh mereka oleh ahli agama tersebut dengan menggunakan kepakaran mereka untuk mengabungkan permainan Harimau, Starlak dan Sendeng maka jadilah satu permainan yang mantap tak bernama. Ahli agama tersebut memilih Panglima Lidah Hitam sebagai ketua mereka bertiga disebabkan ilmu agamanya yang tinggi dan juga kerana beliau berketurunan darah Raja. Gabungan persilatan tersebut dinamakan Silat Lintau berdasarkan nama tempat dimana peraduan tersebut diadakan dan disyorkan oleh ahli agama tersebut.
​
Menurut sejarah, beliau adalah orang pertama memperkenalkan Silat Lintau di Semenanjung Tanah Melayu. Ketika dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan haji, beliau bercadang untuk singgah di Melaka. Belumpun sempat mereka sampai di pelabuhan melaka kapal mereka telah diserang lanun dan mereka semua pun berpakat terjun kelaut berenang ke pantai melaka kerana kapal haji tidak membawa senjata. Disebabkan cuaca buruk, beliau tinggal agak lama di Melaka sementara menanti perubahan musim angin yang lebih baik sebelum meneruskan pelayaran. Di kawasan Melaka, beliau bertemu dengan Orang Kaya Kulub (Orang Kaya Bauk) yang memerintah dari Kuala Kesang hingga ke Sg Sarang Buaya. Orang Kaya Bauk meminta pertolongannya mengajar seni silat Lintau kepada anak muda di kawasan itu kerana kemahiran beliau dalam seni mempertahankan diri. Secara kebetulan, pada masa itu lanun bermaharajalela di Selat Melaka. Orang Kaya Bauk meminta bantuan Panglima Lidah Hitam untuk menghapuskan ancaman lanun yang dikatakan mengganggu aktiviti penduduk setempat. Setelah lanun-lanun berjaya di hapuskan dengan bantuan penduduk setempat yang telah mempelajari Silat Lintau daripada beliau, beliau diberi kuasa untuk menjaga keselamatan dari Kuala Kesang kini Tanjung Emas hingga ke Sungai Sarang Buaya di Sungai Muar.
​
Pada suatu hari Baginda Tengku Zahirruddin Syah pergi memancing dengan dua orang sahabatnya tanpa membawa senjata. Akan tetapi, Saki baki lanun telah menyerang beliau tetapi gagal mengalahkannya lalu lanun tersebut memecahkan perahu kecil beliau dengan membaling tombak hingga perahunya pecah dan terbalik. Kebetulan ribut datang pula pada waktu itu dan Baginda Tuanku Zaharruddin Syah dan seorang rakannya telah hanyut dan lemas manakala seorang sahabatnya sempat berpaut pada serpihan sampan tersebut dan sampai di persisiran pantai Muar.
Ditakdirkan Allah pada waktu itu datanglah Orang Kaya Chekas bersama-sama dengan orang-orang pelarian dari Melaka membuka kampong bernama Padang di Muar (kini Kampung Parit Sakai Jalan Junit). Seminggu selepas itu Orang Kaya Chekas bersama-sama dengan orang-orang kampung pergi ke Kuala Sungai Muar untuk meninjau-ninjau, dengan tidak disangka-sangka mereka ternampak dua mayat yang terapung-apung di permukaan air, kedua-dua mayat mengikut pasang surut air laut iaitu apabila air pasang mayat itu naik ketepi dan apabila air surut mayat itu turun ke laut dan tiada terdampar di pantai seperti sebagaimana biasa, memandangkah hari sudah gelap dan kawasan itu berlumpur maka Orang Kaya Chekas mengambil keputusan akan mengambil mayat-mayat itu besoknya.
​
Keesokan harinya, barulah penduduk kampung datang mengambil mayat terbabit ke darat. Satu daripada mayat itu mempunyai lidah yang panjang berwarna hitam dan berbulu. Anehnya mayat ini tidak busuk dan reput walaupun sudah beberapa lama berada di dalam laut. Jenazah berlidah hitam itu dimakamkan di tepi Parit Sakai. Difahamkan, selepas dimakamkan, satu perkara ganjil berlaku pada keesokannya. Penduduk mendakwa satu tumbuhan batu timbul di atas kedudukan kepala makam berkenaan yang berbentuk lidah dan berwarna hitam cerah. Sebelum ini, penduduk dikatakan meletakkan batu nisan kayu di kepala makam tetapi dilaporkan hilang dan tumbuh pula batu di tempat sama. Apabila malam bulan purnama, batu itu akan bertukar warna menjadi hitam pekat. Disebabkan keganjilan yang berlaku di makam itu, ia dianggap keramat oleh penduduk dan dipanggil “Keramat Lidah Hitam”. Penduduk dikatakan membalut kain kuning pada batu yang berbentuk lidah itu sebagai menghormati sumbangannya kepada penduduk setempat dalam mengekalkan keamanan.
​
Setelah beberapa tahun di perkampungan Baginda Tengku Zahiruddin, Datuk Panglima Alang Laut, cucu kepada Panglima Lidah hitam menerima amanat Silat Lintau pada 1876 dan juga cuba mencari akan Panglima Zaharruddin tetapi tidak berjumpa, maka ia pun berpesan pada cucunya yang agak ganjil juga iaitu Abdul Mulok yang baru berusia 14 tahun(mempunyai lidah hitam) untuk datang ke Malaya, untuk mencari dan mendengar khabar dimanakah moyangnya Panglima Bagindo Zaharruddin Syah berada (makamnya).
​
Abdul Mulok B Sutan Idham@Ibrahim lahir pada 10/8/1903 di Tiku, Pariaman . Semasa ia dilahirkan ibunya Sabariah meninggal dunia , maka ia di pelihara oleh datuknya, Datuk Panglima Alang Laut sehinggalah dewasa. Abdul Mulok diasuh dengan permainan silat Lintau, selain daripada mengaji Quran dan belajar agama oleh datuknya. Abdul Mulok menerima amanat pada hari Khamis 16 Maulud (Rabiulawal) 1916. Dengan kelebihan semulajadi pemberian Allah Taala, Abdul Mulok belajar Silat Lintau daripada datuknya selama 7 hari sahaja walaupun tubuhnya kecil iaitu 4kaki 10in. Beliau telah mula mengembangkan Silat Lintau di Tanah Melayu pada tahun 1930 dan tersebarlah Silat Lintau ini di Malaya. Disebabkan ramai juga muridnya yang ada di negeri Melaka , mereka terdengar cerita terdapat satu makam dengan panggilan penduduk setempat sebagai Keramat Lidah Hitam, Apabila berita itu sampai ke pengetahuan beliau, beliaupun bersiap ke Melaka dan terus ke Muar untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi. Dengan alamat-alamat yang dapat pada Abdul Mulok serta cerita-cerita daripada penduduk setempat dia yakin itulah makam moyangnya yang selama ini di wasiatkan oleh datuknya untuk mencari dan disahkan oleh keturunan yang manjaga makam tersebut. Maka menangislah Abdul Mulok di tepi makam tersebut kerana terlalu gembira. Beliau berkata moyangnya tidak keramat, hanya manusia biasa sahaja. Maka makam tersebut tidak dipanggil keramat lagi tetapi dipanggi Makam Panglima Lidah Hitam dan nama sebenarnya iaitu Bagindo Zahirruddin Syah dan dia juga yang membawa silat Lintau ke Malaya .
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
​
Semua cerita daripada kejadian lemasnya Bagindo Zahirruddin disampaikan oleh sahabatnya yang selamat pada kejadian itu kepada saudara mara tua terdahulu dan disampaikan dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kepada Abdul Mulok dan cerita tentang keanehan mayat Panglima Lidah Hitam itu juga diceritakan oleh penduduk disitu, maka kedua-dua cerita tersebut memang ada pertalian dan buktinya. Haji Mulok juga berkeluarga di Tanah Melayu dan mempunyai tiga orang anak dimana waris dan amanat Silat Lintau ini telah diturunkan kepada anaknya Hj Ustaz Sahperi. Beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair pada 4/5/1982 semasa berumur 79 tahun.
​
Hj Ustaz Sahperi bin Abdul Mulok dilahirkan pada 11/5/1942. Bekerja sebagai seorang guru agama di sekolah dan mempelajari Silat Lintau daripada ayahnya secara bersembunyi dan mendalam. Setelah pemergian Hj Mulok, Ustaz Sahperi tidak terus mengambil alih sebagai Guru Utama tetapi hanya setelah dipujuk oleh beberapa murid lama dipersetujui untuk menjadi Guru utama pada tahun 1989. Beliau mengidap kanser pada tahun 2002 dan membuat rawatan di Hospital Universiti Kuala Lumpur. Meninggal pada 10/4/2003 jam 12 tengah hari berumur 61 tahun dan dikebumikan di Kg Seri Rahmat, Changkat Larang
​
Pewaris terkini dan juga Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Lintau Asli Malaysia dilahirkan pada tahun 1969, dan dinamakan sebagai Muhammad Hidayatullah oleh ayahnya, Ustaz Haji Sahperi bin Hj Abdul Mulok. Memandangkan Mohd Hidayatullah merupakan cucu yang sulung maka dia juga digelar sebagai Ayob bermakna abang sulung dalam loghat Perak. Di khatamkan oleh ayahnya dalam Silat Lintau dan selepas khatam, mencari dan mempelajari Silat ini dengan murid-murid lama di bawah arwah datuknya Hj Mulok. Beliau menggantikan arwah ayahnya sebagai Guru Utama dan menerima amanat pada tahun 2004 semasa berumur 35 tahun dan kini telah membuka kembali gelanggang asal di Kg Seri Rahmat yang pernah dibuka pada tahun 1940an dahulu.
Bagi Silat Lintau yang dibawa oleh Arwah Hj Mulok, pewaris merupakan sesuatu yang utama bagi pesilat dan pertubuhan. Telah di sebut oleh arwah Hj Mulok, yang boleh menjadi pewaris, menjadi guru utama dan yang boleh mengkhatamkan pesilat-pesilat hanyalah dari keturunannya sahaja. Oleh itu, waris keturunan merupakan sesuatu yang penting bagi pertubuhan dan persilatan Silat Lintau Asli ini. Sejarah ini telah diperturunkan secara lisan oleh penduduk kampung dari Kampung keluarga Panglima Lidah Hitam dan juga oleh keturunan beliau secara lisan sehinggalah ditulis oleh Hj Abdul Mulok dan diperkemaskan oleh cucu beliau Muhammad Hidayatullah.
​
​
​



Buku mengenai Sejarah Lintau dan perkembangannya di Malaysia sudah diterbitkan seperti dibawah. Sila ke laman web https://wannuralintauasli.wordpress.com atau klik di gambar dibawah untuk menempah buku berikut.
Panglima Lidah Hitam dan Batu Belah di Pulau Besar Melaka
Di Pulau Besar, Melaka, terdapat sebuah batu besar setinggi 3 meter dan mempunyai rekahan di tengah-tengahnya selebar lebih kurang 35 cm dengan kedalaman sejauh 1.5 meter dipercayai adalah hasil belahan Panglima Lidah Hitam.
Menurut ceritanya, ratusan tahun dahulu, sekumpulan pendekar dan pahlawan menunjukkan kehebatan ilmu masing-masing. Ada yang membelah dan menebang pokok besar dengan sekali cantas dan ada yang membelah bukit dengan sekali imbas dan bermacam-macam lagi. Sehingga pada suatu waktu seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Lidah Hitam merasa tercabar dengan kekuatan kawan-kawannya itu. Beliau menghampiri batu besar tersebut dan menjelirkan lidahnya yang hitam itu lalu membelah batu tersebut. Begitulah cerita dari turun temurun mengenai terbelahnya batu tersebut dengan kesaktian Panglima Lidah Hitam ini

Hj Abdul Mulok di Makam Panglima Lidah Hitam (Moyangnya) pada tahun 1969