
PERTUBUHAN SENI SILAT LINTAU ASLI MALAYSIA

Persilatan yang di asaskan oleh Panglima Lidah Hitam@Baginda Zaharuddin ( PPM-010-08-02112011 )


Kesediaan mental dalam pembelajaran dan aplikasi silat
oleh Mohd Hidayatullah bin Hj Sahperi
Kesediaan mental adalah ketahanan akal dan pemikiran semasa berada didalam keadaan tertekan. Iaitu seseorang tidak mudah memberontak apabila berada didalam situasi tertekan atau cemas. Jika seseorang itu selalu mengharungi keadaan yang tertekan maka ianya akan jadi biasa dengan keadaan tersebut, apabila ini terjadi pemikirannya menjadi tenang dan sabar serta boleh mengharungi keadaan tersebut dan boleh mengaplikasikan apa yang dipelajarinya sebelum ini seperti silat. Latihan seperti mendaki gunung , merentas desa dan berbagai lagi latihan yang lasak dan susah boleh memantapkan mental seseorang.
Secara umumnya perkataan pandai akal sering dikaitkan dengan pendekar atau mereka yang mahir didalam pertempuran. Pendekar mempunyai kepandaian akal dan kebijaksanaan pemikiran sewaktu bertempur.Mereka juga dikenali sebagai pakar tempur. Jika mereka hanya mahir didalam silat mereka tetapi tidak mempunyai kesediaan mental yang mantap, mereka mungkin tidak berjaya menjadi pendekar, kerana gabungan antara ketahanan mental dan kemahiran bersilat menyebabkan ketenangan didalam diri mereka serta boleh mengaplikasikan segala apa yang mereka pelajari didalam silat mereka barulah boleh mereka digelar sebagai pendekar atau pahlawan.
Mengikut kajian pakar, terdapat 3 unsur didalam kesediaan mental didalam pendidikan dan boleh juga digunakan untuk mempelajari dan mengaplikasi silat.Unsur tersebut adalah:
1. Kesediaan Kognitif.(nilai pemikiran)
~ Kesediaan mental pelajar untuk belajar termasuk kesediaan untuk berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep dan menyelesaikan masalah.
~ Pelajar yang mempunyai kesediaan kognitif yang tinggi dapat melihat beberapa aspek dalam sesuatu idea walaupun ianya berbentuk abstrak.
~ Struktur pengetahuan mereka mula menjadi formal dan berupaya membentuk hipotesis ketika menyelesaikan masalah.
2. Kesediaan Afektif.(Azam dan semangat)
~ Merangkumi kesediaan pelajar ke atas aspek-aspek minat, nilai, sikap, keinginan, ketekunan dan perasaan pada pelajaran yang diikuti.
~ Menentukan pencapaian akademik yang cemerlang dan kejayaan dalam pembelajaran.
~ Pelajar suka melibatkan diri dalam sebarang aktiviti pembelajaran dan selalu mengulang kaji dan menyiapkan kerja rumah.
3. Kesediaan Psikomotor.(Ketahanan dan kecergasan badan)
~ Penglibatan perkembangan fizikal seperti otot, tulang anggota dan pengawalan koordinasi penggerak badan.
~ Kemahiran psikomotor berkembang pada kadar yang berlainan dan mencapai kematangan apabila seseorang itu meningkat dewasa.
Antara latihan yang perlu dibuat untuk mendapatkan aspek diatas adalah seperti menjalani latihan lasak contohnya memanjat gunung, merentas desa, basikal bukit, berkayak serta selalu membuat latihan tempur @ sparing sesama ahli silat dan untuk permulaan jogging adalah penting.
Mengawal pemikiran@Mind set adalah penting untuk mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini. Jika kita bertarung didalam gelanggang musuh kita adalah kawan yang seguru dengan kita, jadi jika pukulan itu tidak dapat ditepisnya atau dielak atau ditangkapnya maka kita perlu memberhentikan pukulan tersebut secara cepat @ break tetapi pertempuran tetap diteruskan, ini adalah untuk mengelakkan daripada sebarang kecederaan. Bagi sesetengah persatuan seni mempertahankan diri pelatih perlu memakai penahan @guard sewaktu pertempuran tujuannya adalah sama iaitu untuk mengelakkan kecederaan sewaktu bertempur. Mental kita perlu benar benar sedia, tidak boleh hilang tumpuan,tumpuan mestilah 100% untuk bertempur, ketepikan segala masaalah sewaktu bertempur, jangan terlalu emosi dan terlalu yakin atau terlalu tidak yakin.
Tetapi jika kita bertempur diluar gelanggang keadaannya sama juga iaitu mental kita perlu benar benar sedia, tidak boleh hilang tumpuan, tumpuan mestilah 100% untuk bertempur, ketepikan segala masaalah sewaktu bertempur. Jangan terlalu emosi dan terlalu yakin atau terlalu tidak yakin. Pukulan pula tidak perlu diberhentikan cuma jangan sampai tindakan kita itu boleh menyebabkan kita menzalimi atau menganiayai seseorang serta melanggar undang undang negara dan apa yang penting ialah kita selamat.
Contoh keadaan mental yang tenang adalah sewaktu kita sembahyang, dan contoh keadaan mental yang tidak tenang seperti kita sedang melintas jalan yang sibuk. Cuba kita kaji dan bezakan kedua dua keadaan ini. Jawapannya ada pada dalam diri kita tentang mental yang tenang dan mental yang tidak tenang. Untuk menggabungkan ketenangan mental dan silat perlu ada latihan yang betul. Cuba buat diwaktu pagi seperti membuat langkah asas silat dengan perlahan dan mengawal nafas pada setiap pergerakan seperti senaman Tai Chi. Lama kelamaan anda akan mendapat ketenangan didalam hati disamping boleh membuat asas langkah silat dengan tenang. Ini akan memberikan kesan @ impak yang bagus kepada pelatih sewaktu bertarung.