
PERTUBUHAN SENI SILAT LINTAU ASLI MALAYSIA

Persilatan yang di asaskan oleh Panglima Lidah Hitam@Baginda Zaharuddin ( PPM-010-08-02112011 )


Cabaran dan penyesuaian pembelajaran Silat pada zaman ini
oleh Mohd Hidayatullah bin Hj Sahperi
Pada hari ini silat perlu diberi anjakan paradigma supaya ia sesuai digunakan seiring dengan perkembangan dunia masa kini.Tetapi tidak menghilangkan identiti dan keasliannya. Kebanyakan silat masih menggunakan kaedah lama untuk latihan dan cara pengajaran, perlu diingat bahawa untuk sama sama seiring mengikut perkembangan masa kini persatuan silat perlu mengkaji semula teknik latihan dan cara pengajaran agar sesuai dengan keadaan pelajar masa kini. Dunia berubah termasuk juga sikap dan pandangan pelajar dan ibubapa mereka juga berubah.Bukannya kita kata cara dulu tidak bagus tetapi kita perlu menyesuaikan cara itu mengikut zaman asalkan tidak lari daripada matlamat dan tujuan sebenar. Contohnya kalau dulu masa belajar silat selepas isyak sampai ke 12 tengah malam, tetapi sekarang mungkin masa itu perlu dikaji semula contohnya 9 malam hingga 10.30 malam untuk dewasa yang kebanyakannya bekerja dan pada petang hari biasa atau pagi sabtu untuk murid murid sekolah. Jurulatih perlu memasuki kelas St Ambulans untuk menangani situasi kecemasan jika ianya terjadi, kelas memadam kebakaran juga penting untuk asas asas memadam kebakaran selain mahir didalam persilatan mereka. Kerana jurulatih atau guru silat adalah umpama bapa, doktor, pemimpin, cikgu dan penasihat bagi muridnya. Pada saya tidak salah malahan lebih elok jika guru atau jurulatih silat mempunyai kepelbagaian kemahiran dan kepandaian.
Silat telah bertapak ditanah air kita selama ratusan tahun hingga kini,dan terdapat pula berbagai jenis silat dengan cara dan kefahaman mereka sendiri. Bagi pengamal silat ataupun sesuatu perguruan terdapat beberapa jenis cabaran yang perlu ditempuhi antaranya,
Persilatan
Silat itu sendiri perlu ada kekuatan dari segi langkah, ibu atau buah pukulan, kuncian, jurus,seni, pencak permainan dalam tangan kosong atau bersenjata maupun ilmu kebatinannya. Perlu ada badan dalam pertubuhan untuk melakukan kajian untuk perkara tersebut.
Masa pembelajaran
Masa diperlukan untuk melatih seseorang pelajar juga adalah penting. Tidak terlalu lama dan tidak terlalu pendek. Jka terlalu lama, ia menjadi tidak praktikal kerana silat dibelajar untuk digunakan. Jika selepas 5 tahun masih di khususkan kepada beberapa jurus sahaja dan tidak diajar untuk diguna pakai maka amat merugikan dan jika terlalu pendek maka kemahiran pelajar mungkin belum mencukupi
Silibus atau cara pengajaran
Bentuk atau cara mengajar atau silibus sewaktu mengajar.Mesti sesuai mengikut tempat dan umur pelajar, contohnya silibus untuk sekolah tidak sesuai untuk universiti. Di Univeristi pelajar mempunyai tahap pemikiran yang lebih matang berbadning budak sekolah rendah. Maka cara pemahaman yang diterapkan amat penting supaya pembelajaran itu dapat difahami oleh pelajar.
Jurulatih
Menyediakan jurulatih yang bertauliah dan diiktiraf oleh sesuatu perguruan amat penting untuk menyambung dan menajar generasi baru di dalam silat. Pemahaman mengenai silat dan asas yang kuat amat penting. Objektifnya adalah untuk menjadi jurulatih yang memahami dan dapat mengubah suai silibus untuk disesuaikan kepada perbezaan yang ada pada pelajar separti faktor umur, kekuatan, ketinggian dll. Antara tugas Jurulatih adalah:
-
Penilaian tahap kecekapan pelajar mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh sesuatu perguruan.
-
Bagaimana untuk menambah bilangan pelajar agar tidak terputus antara satu sesi dengan satu sesi yang lain? Seperti membuat iklan didalam internet dll.
-
Bagaimana cara untuk mengelakkan pelajar daripada belajar setengah jalan? Teknik pembelajaran berkesan dapat mengelakkan pelajar daripada berasa bosan dan tertekan.
-
Bagaimana untuk mendapatkan pelapis yang benar benar berkualiti,setia dan proaktif? Teknik latihan fizikal dan mental yang mantap, penerapan sejarah silat itu sendiri dan kebergunaannya kepada pelajar dimasa perlu.
Antara perkara-perkara yang lain untuk dilihat adalah seperti:
-
Masaalah kewangan sering melanda pada sesuatu perguruan atau pertubuhan.
-
Masalah tempat latihan dan kebenaran daripada pemilik tanah.
-
Perebutan kuasa diantara ahli didalam sesuatu pertubuhan menyebabkan sesuatu perguruan itu sukar untuk berdayasaing.
Ini adalah antara cabaran cabaran yang perlu ditangani oleh semua perguruan untuk maju dan setaraf dengan pertubuhan lain yang bertaraf dunia. Semua cabaran ini memerlukan kebijaksanaan untuk menyelesaikannya.
Dialaf baru ini perlu ada penyesuaian pembelajaran untuk memperkenal dan mengembangkan silat ini. Banyak perubahan perlu dibuat agar sesuai digunakan dimasa kini dan bersesuaian dengan karektor pelajar masa sekarang. Antaranya:
-
Bentuk atau cara mengajar atau silibus sewaktu mengajar. Jika cara dahulu mungkin agak tegas tetapi masa kini lebih sesuai dengan cara yang lembut dan mudah tetapi tetap berdisiplin dan hasilnya sama seperti pelajar dahulu. Mengapa? Kerana cara didikan masa kini lebih menerapkan cara psycology pujukan daripada cara lama yang agak keras. Jadi murid tidak biasa dengan cara keras dan kasar. Ini menyebabkan mereka belajar tidak lama atau tidak sampai tamat. Didalam islam juga menggalakkan cara seperti mudah,ringkas dan tidak berulang ulang,mesra dan tidak terlalu tegas. Cara mengajar yang lembut dan mesra adalah mudah diikuti dan diingati oleh pelajar tetapi untuk peringkat yang lebih tinggi@advance barulah boleh digunakan cara yang keras sedikit.
-
Pastikan pelajar tidak berasa tertekan dan bosan serta keliru sewaktu kelas. Guna cara yang mesra agar jurulatih tahu dimana kelemahan mereka yang perlu dibaiki.Jurulatih jangan bersikap terlalu tegas dan protokol, tetapi jangan pula sampai murid tidak hormat kepada kita.
-
Penilaian tahap kecekapan pelajar mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh sesuatu perguruan, jika dahulu sekurang kurangnya 90-100% baru pelajar tersebut boleh naik grade tetapi kini dikurangkan sedikit tetapi kualitinya sama .Cth seperti 68-100%. Cara menilai markah yang rendah sedikit tidak menyebabkan kekurangan kemahiran tetapi ia boleh memberikan motivasi dan semangat kepada mereka agar setanding dengan mereka yang lulus dengan markah cemerlang dan mereka juga perlu lulus dengan lebih bermaruah serta rajin membuat latihan. Itu bergantung kepada kebijaksanaan jurulatih untuk memotivasikan mereka.
-
Masa diperlukan untuk melatih seseorang pelajar. Tidak terlalu lama dan tidak terlalu pendek, masa yang sesuai sekarang ini adalah sekitar tempoh 2 tahun. Mengapa 2 tahun masa paling sesuai? Jika dikaji 2 tahun adalah 52 minggu x 2 = 104 minggu. Jika dikira secara kasar tolak segala cuti seperti hari raya dan sebagainya tinggal 95 minggu, katakan kelas diadakan setiap hari jumaat dan sabtu malam, setiap kelas ada 3 jam x 2= 6 jam seminggu. 6 jam x 95minggu = 570 jam. Jika kita nak mengambil lesen kapalterbang pun syarat lulus perlu terbang sekurang kurangnya 200 sahaja. Sedangkan masa bersilat adalah anggaran 570 jam sahaja.
Saya telahpun mencuba cara ini untuk pelajar saya dan hasilnya bagus,pelatih baru 8 bulan boleh bermain pencak dengan pelatih yang hampir 1 tahun setengah. Iaitu hasil permainan yang hampir 85% sama walaupun masa belajar mereka 8 bulan.
Pelajar yang di menggunakan kaedah baru ini lebih berani, cekap, cepat mempelajari sesuatu pukulan baru dan setanding dengan pelajar lama yang telah belajar lebih setahun daripada mereka.
Dimasa kini pembelajaran silat perlu ada anjakan paradigma seperti menggunakan latihan fizikal dengan kaedah alatan gim ,pemakanan yang baik dengan menggunakan kaedah sains sukan atau sains makanan walaupun menggunakan gelanggang tanah tidak berbumbung tetapi mesti ada satu kawasan latihan fizikal yang setaraf dengan seni beladiri asing. Baru ada semangat untuk generasi baru belajar. Penutupnya, kaedah pembelajaran dan latihan mestilah mengikut cara terkini pada mana mana pertubuhan yang dianggap mampu, tapi kalau tidak, perlu mengunakan kaedah lain yang dapat menghasilkan keputusan yang sama.