top of page

Aplikasi silat dalam pertarungan

oleh Mohd Hidayatullah bin Hj Sahperi

 

Silat itu sendiri adalah gabungan antara seni dan beladiri, silat dengan seni bela diri yang lain tiada bezanya. Cuma dari segi langkah, cara serangan, kuncian, tapak atau melangkah dan elakan. Ideologi antara silat dengan seni bela diri yang lain ada terdapat perbezaan begitu juga dengan cara pemakaian.

 

Didalam seni beladiri lain kadang kala hanya sedikit seni dan banyak pada pukulan dan kuncian, tetapi didalam silat terdapat banyak seni didalam mengaplikasikan sesuatu pukulan maupun elakan atau kuncian. Tetapi kebanyakan silat ada kelebihan seperti ini:

 

1) Ada permainan seni, boleh bertempur didalam bentuk seni, kebanyakannya untuk golongan orang lama atau senior, di majlis keramaian seperti majlis perkahwinan,perasmian,menyambut pemimpin dan sekarang ini untuk majlis harijadi pun ada dibuat, ini dipanggil permainan beradap.Cantik juga jika kanak kanak berumur dibawah 12tahun memainkan seni ini.Pertempuran secara beradap.

 

2)Permainan pencak, digunakan untuk menguji kecekapan seseorang pelatih,boleh juga untuk pertunjukan dimajlis perkahwinan dengan cara yang agak kasar sedikit. Ia juga boleh digunakan didalam pertarungan,cuma peratus seninya dikurangkan sehingga 25% sahaja untuk mengeliru dan menakutkan musuh.Pelatih yang mahir didalam permainan pencak boleh bertarung dengan baik kerana pergerakan dan pemikiran mereka bergerak secara spontan.Pertempuran sesama ahli silat atau dialiran persilatan yang lain.

 

3)Tempur terus@Street Fighter, diperingkat ini tiada lagi unsur seni digunakan didalam sesuatu pertarungan,hanya ingat dan mahir dalam segala ibu atau buah maupun jurus serta cekap dalam membuat sesuatu pergerakan. Kerana didalam pertarungan ini tiada lagi konsep lawan balik.musuh mesti ditewaskan dengan secepat mungkin dengan tahap kecederaan yang maksima. Segala jenis pukulan,kuncian dan elakan mestilah cepat dan tepat. Pertempuran untuk kemenangan tanpa mengira apa aliran seni pertahankan diri musuh.

 

Contohnya jika satu lawan satu.

 Pesilat mesti cekap membaca pergerakan, langkah dan pukulan lawan serta tahu apa yang bakal dibuat untuk mengenakan lawannya. Seperti cara mengumpan, mengelak dan menyambut pukulan lawan, mengunci atau memukul untuk menewaskan lawan dengan cara yang selamat dan cepat.

 

Jika musuh lebih daripada 1.

Pesilat mesti mempunyai daya kecekapan dan kemahiran yang tinggi atau berganda. Mempunyai minda yang tajam serta ingatan yang kuat dan cekap untuk menangani lawan yang lebih daripada satu. Skil membaca pergerakan, langkah dan pukulan musuh amat penting begitu juga untuk mengumpan,mengelak dan membalas serangan musuh dengan cepat dan tepat serta bijak menggunakan persekitaran sekeliling untuk menewaskan musuh seperti menggunakan kayu,meja,bangku dan lain-lain yang ada disekitar tempat bertemput tersebut selain daripada kemahiran dalam silat tadi.Ada masanya satu langkah boleh makan@menjatuhkan dua musuh sekaligus atau lebih. Tetapi perlu diingat, bahawa badan yang sihat juga adalah satu faktor utama untuk menang.

 

Memantapkan@mempertajamkan permainan Tempur Terus.

Untuk menajamkan permainan dalam sistem permainan tempur terus, pesilat perlu selalu menjalani latihan jasmani@fitnes untuk melajukan dan menguatkan tumbukan, sepakan, sikuan, kuncian, patahan, tendangan, umpanan dan lompatan sebagai asas kecekapan diri dan perlu selalu berlatih bertempur@sparing sama ada dengan 1 lawan dan lebih daripada satu lawan. Mengkaji@explore semula setiap pukulan untuk kesesuaiannya dibawa kedalam bentuk permainan Tempur Terus. Menggunakan langkah yang lebih kecil dan ringkas serta pukulan yang cepat dan tepat serta mempunyai daya kuasa yang kuat. Perlu berlatih untuk mendapatkan tempat pukulan tepat untuk melemahkan @killer point musuh.

 

Kegagalan mengaplikasikan apa yang dipelajari semasa pertarungan.

Kebiasaannya kegagalan untuk mengaplikasi apa yang dipelajari semasa bertarung adalah kerana beberapa faktor yang tidak diambil berat oleh pesilat itu sendiri seperti hilang tumpuan iaitu ingatannya bukan pada pertempuran tersebut  ingatannya ditempat lain atau mengambil kisah tentang kesakitan akibat pukulan musuh,lupa disebabkan oleh kurang latihan, pergerakan yang terhad juga kerana kurang latihan, terlalu gemuruh kerana kurang latihan atau tidak biasa dengan keadaan persekitaran, tidak membuat kajian@explore tentang apa langkah dan pukulan yang sesuai dengan diri seseorang pesilat itu serta ketahanan mental dan fizikal yang lemah. Walau apa pun keadaannya hati kita perlu tenang kerana didalam ketenangan itu baru boleh kita mengaplikasi apa yang kita fikirkan sesuai semasa bertarung selain kecekapan fizikal tadi. Untuk berjaya perlu banyak latihan.

 

Untuk mana mana etnik yang sememangnya ada silat didalam kehidupan, maka tidak menjadi masaalah untuk mereka mengaplikasikan silat didalam pertarungan, kerana dahulu kala silat inilah juga sebagai penyelamat bangsa negara dan agama. Kalau dizaman dahulu pengamal silat tinggal diatas gunung ganang, bukit bukau dan dihutan kerana untuk mendapatkan ketenangan dan mengelakkan daripada bertarung untuk sebab yang kecil. Tetapi dengan cara ini juga secara tidak langsung menguji semangat dan kehendak pelajar untuk sampai ketempat belajar dengan bersungguh sungguh. Ini juga menyebabkan sesuatu silat itu terkenal ditempatnya kerana tempat itu adalah identiti silat tersebut.

 

Peranan silat dalam menaikkan semangat dan keyakinan diri

Silat juga adalah merupakan maruah bagi sesuatu tempat atau daerah atau negeri, bagi sesuatu kaum@etnik,bagi sesuatu keluarga dan bagi setiap individu yang mempelajarinya. Itu sebabnya sesuatu silat itu perlu ada identitinya sendiri seperti langkah serta permainannya sendiri, pakaian,logo,cara persembahan, nama dan sejarahnya sendiri. Jika ada persamaan pun mungkin secara kebetulan sahaja. Jika berkumpul ahli sesuatu silat disatu tempat dengan bilangan yang ramai, pakaian dan logo yang sama serta membuka langkah silat yang sama, maka secara tidak langsung ianya menaikkan semangat semua anggota yang terlibat maupun ahli yang hadir. Ini akan menambahkan keyakinan diri serta jati diri dan semangat dikalangan ahli silat tersebut. Secara amnya Silat dapat membantu menaikkan semangat serta keyakinan diri kepada setiap ahlinya.

 

Aplikasi keyakinan diri dalam kehidupan harian dan kepentingan dalam pertarungan.

Apabila dikaji apa itu silat, ia mesti ada langkah, langkah mesti ada kuda-kuda, apa itu langkah? Langkah ialah pergerakan dari satu tempat ke satu tempat. Jika langkah itu kita aplikasikan didalam bentuk kehidupan ia membawa maksud bagaimana kita pergi dari satu tempat ke satu tempat dengan keyakinan diri yang penuh atau apabila kita ditugaskan,kita akan melakukan tugas tersebut dengan bersunggun sungguh.

 

 Silat juga mesti ada Buah Pukulan, apa itu buah pukulan? Buah pukulan ialah ilmu kemahiran seseorang, Jika diaplikasikan didalam bentuk kehidupan ia membawa maksud kelulusan dan kemahiran diri seseorang itu didalam bidang yang diceburinya. Didalam buah pukulan terdapat segala jenis pukulan dan kuncian serta umpanan.

 

Silat juga mesti ada adap dan tertip, apa itu adap dan tertip? Adap ialah menghormati antara setiap ahli serta menghormati ahli yang lebih lama@senior atau dengan maksud lain ialah menjaga kesopanan bagi setiap ahli. Apa itu tertip? Tertip pula ialah cara yang telah ditetapkan oleh ahli terdahulu seperti cara potong limau dan lain lain mengikut sesuatu persilatan tersebut. Jika dibawa kedalam kehidupan kita, adap dan tertip ini ialah kita perlu menghormati antara satu sama lain dan membuat sesuatu kerja mengikut prosidur yang telah ditetapkan. Atau jangan melanggar undang undang negara atau disesuatu tempat tersebut seperti ditempat kerja.

 

 Secara amnya buah pukulan ,langkah serta adap dan tertip  jika dibawa didalam unsur pertarungan seseorang pesilat itu perlu ada keyakinan diri dan kemahiran diri untuk bertarung serta menghormati antara sesama manusia, jangan membuat sesuatu itu dengan sesuka hatinya sendiri tanpa mengetahui akan bahaya pada dirinya sewaktu bertarung dan kena akur pada setiap undang undang didalam perlawanan supaya tidak melampaui batas.

Memperkenalkan silat masa kini.

 

Dialaf baru ini mempunyai pendekatan yang berbeza, untuk memperkenalkan sesuatu silat itu hanya perlu diiklankan didalam suratkhabar dan yang terkini menggunakan internet, silat itu dikenali diseluruh dunia dalam masa yang singkat, dimasukkan video tempur,l angkah dan banyak lagi. Ini terpulang kepada perguruan tersebut untuk menguruskannya jika ada yang berminat untuk belajar, masa kini juga ada perguruan mengajar silat melalui kaedah internet walaupun keberkesanannya tidak secara menyeluruh. Saya sendiri tidak bersetuju untuk mengajar silat didalam internet, mesti secara bersemuka seperti dahulu kecuali untuk rujukan sahaja.Kerana mesti ada adat dan adap antara murid dan guru.Sebagai penutup ingin saya jelaskan sekali lagi aplikasi silat didalam pertarungan amat berkesan dan sesuai untuk masa kini.

© Copyright

© 2014 by LintauAsli. Proudly created with Wix.com

bottom of page