
PERTUBUHAN SENI SILAT LINTAU ASLI MALAYSIA

Persilatan yang di asaskan oleh Panglima Lidah Hitam@Baginda Zaharuddin ( PPM-010-08-02112011 )


Silat pada pandangan saya
oleh Mohd Hidayatullah bin Hj Sahperi
Nama samaran saya adalah Ayop @ Pak yop, saya adalah anak kepada Allahyarham Ust Hj Sahperi Bin Abdul Mulok (1942-2003) dan cucu kepada Pengasas Silat Lintau di Malaysia iaitu Allahyarham Tuan Hj Abdul Mulok Bin Sutan Idham (1903-1982) yang berasal daripada Pariaman Sumatera dari keturunan Bagindo Zahirruddin Syah yang mangkat dan dikebumikan di Kampung Parit Sakai Laut Jln Junid Muar Johor, dan kini saya menetap di Ipoh, Perak. Saya dilantik sebagai Guru utama dan diiktiraf sebagai pewaris silat lintau oleh Pertubuhan Seni Silat Lintau Asli Malaysia.
Silat atau nama lainnya Pencak Silat adalah satu seni beladiri. Terdapat 2
maksud yang berbeza
1)Seni.
2)Beladiri.
Kedua duanya bergabung menjadikannya SILAT. Ada juga yang mengandaikan silat itu berasal dari perkataan silap, maknanya jika seseorang itu silap maka dia akan kena.Pada pendapat saya silat ini gabungan antara seni dan beladiri. Kerana pincanglah silat kalau tiada seni, hilanglah seni kalau tiada beladiri. Kedua duanya ibarat aur dengan tebing. Seni diambil daripada adat sesuatu kaum atau etnik dan digabung dengan pergerakan binatang seperti harimau,helang dan berbagai lagi.Seni adalah identiti kepada persilatan. Beladiri pula adalah teknik pertahanan diri seperti tumbukan, elakan, kuncian dan berbagai lagi teknik pergaduhan. Ada juga diambil daripada cara binatang bergaduh. Apabila kedua dua ini iaitu seni dan beladiri digabungkan maka jadilah satu bentuk permainan yang dipanggil silat, yang indah dan sesuai untuk dipertontonkan dimajlis majlis dan boleh juga digunakan untuk mempertahankan diri.
Seni didalam permainan silat ada banyak mengikut sesuatu perguruan seperti helang dirimba, murai bersiul, itik pulang petang dan banyak lagi. Tetapi sacara amnya terdapat 2 jenis seni iaitu
1)Seni Pencak, iaitu permainan cara kasar tetapi ada seni.
2)Seni Halus, iaitu permainan seni yang agak halus atau lemah lembut seperti tarian sedikit dan pukulannya tidak kasar.
Silat itu melambangkan bangsa dan tanah air sesuatu etnik seperti melayu, jawa, minang, banjar dan berbagai etnik lagi. Jadi perlu ada penerapan silat ini kepada jenerasi etnik etnik ini agar tidak hilang ditelan zaman dan mengetahui asal usul keturunan mereka. Hampir kebanyakan silat ini berlandaskan islam, maka itu sebabnya ramai juga pendakwah mempelajari silat untuk mempertahankan diri sewaktu menyebarkan islam diseluruh nusantara termasuk juga pedagang pedagang dan orang yang merantau mempelajari silat ini sebagai bekal diperantauan. Kini silat diletakkan didalam kategori seni dan kalau dahulu silat diletakkan didalam kategori ilmu mempertahankan diri.
Silat dianggap sebagai satu budaya dan harta bernilai bagi setiap etnik yang memilikinya. Banyak idealogi silat diterapkan didalam kehidupan harian seperti langkah dan kuda kuda boleh diertikan sebagai keyakinan diri atau jati diri dan buah pukulan diertikan sebagai kepandaian atau kemahiran atau kelulusan seseorang.
Selain silat sebagai satu seni yang yang halus dan indah ianya juga penting untuk digunakan sebagai kemahiran mempertahankan diri dimasa perlu, sekarang ini ramai juga wanita pelajar sekolah dan kolej belajar silat untuk mempertahankan diri sewaktu berada disekolah, pejabat dan tempat tempat awam dengan kadar jenayah agak tinggi sekarang ini. Kini silat juga dipertontonkan untuk majlis perasmian, perkahwinan dan lain lain majlis yang dikira perlu digunakan silat sebagai satu persembahan. Silat juga melambangkan keunikan sesuatu etnik, bangsa dan negara.
Bagi mereka yang ingin menceburi bidang persilatan ini saya nasihatkan agar mempunyai asas agama yang kuat agar tidak terpesong dengan berbagai cubaan dan dugaan. Cubaan mula datang sewaktu kita mula masuk silat hinggalah pada hari tamat atau khatam. Itu dikatakan sebagai cubaan waktu belajar.Kita gembira dan telah berjaya memiliki kemahiran bersilat. Tetapi apabila sudah khatam cubaannya lain pula, seperti untuk menjadi pembantu jurulatih, bukan mudah untuk kita memahamkan murid supaya mengikut apa yang kita kehendaki didalam silat, ianya memerlukan pengalaman baru dan kesabaran kerana setiap murid mempunyai daya ingatan dan kefahaman yang berbeza. Apabila murid tersebut khatam itulah masa yang paling gembira bagi seorang jurulatih dan pembantunya, itu menunjukkan bahawa mereka telah berjaya sebagai seorang pendidik. Cubaan yang pahit pula ialah apabila murid yang kita didik langsung tidak pernah mengambil tahu tentang silat tersebut setelah mereka khatam dan hilang selamanya.Begitu juga apabila ada antara mereka pula yang menderhaka atau belot pada persilatan mereka sendiri. Banyak guru guru silat yang makan hati disebabkan oleh perkara tersebut. Apa boleh buat hanya berserah pada Allah SWT kerana kepada dialah tempat kita berserah diri. Itulah antara pengalaman yang saya pernah lalui.